Minggu, 05 Oktober 2014

Kisah Kucing Mentaati Tuannya Hingga ke Liang Lahad



Mungkin anda pernah dengar atau membaca kisah seekor anjing bernama Hachiko. Anjing berbaka Akita Inu ini menjadi lagenda Jepun kerana sifat setia terhadap tuannya. Setianya Hachiko apabila selalu dilihat menunggu kepulangan tuannya, Profesor Ueno di Stesen Keretapi Shibuya setiap pukul 5 petang. Bahkan, selepas Profesor Ueno meninggal kerana serangan angin ahmar pun Hachiko masih setia menunggu tuannya di stesen keretapi itu.


Itu kisah seekor anjing yang berlaku di Jepun. Di Malaysia juga ada, tapi ianya adalah seekor kucing.


Baru-baru ni saya mendapat notifikasi daripada group Kami Sayang Kucing di Facebook yang dikongsikan oleh ahli group bernama Nurules Nulife. Ianya berkenaan gambar seekor kucing yang sedang duduk memerhatikan proses pengkebumian seorang lelaki yang dipercayai sebagai tuannya. Gambar ini asalnya daripada Facebook Page Revolusi Anak Muda Malaysia [R.A.M.M].




Daripada gambar yang dikongsikan di atas datanglah satu komen daripada seorang yang bernama Sunazrah Saleh yang mengatakan arwah adalah ayahnya. Dikatakan arwah adalah seorang yang sangat menyayangi kucing. Ini adalah komen Puan Sunazrah Saleh yang telah saya perbetulkan sedikit tulisannya…


 Arwah adalah ayah saya. Arwah meninggal 9 Syawal yang lalu. Arwah memang sayangkan kucing. Dah berpuluh-puluh kucing yang dia jaga. Kebanyakan kucing yang dibela sampai kucing tua, mati atau dicuri orang. Sejak arwah sakit dan pakai wheelchair…kami tak kasi dia bela kucing lagi. Taip memang kami tak boleh pisahkan kasih sayang dia dengan kucing. Pantang nampak kucing lintas depan dia, mesti dia panggil bagi makan.


    Kalau bawak arwah pergi kedai makan mesti ada kucing datang dekat arwah. Sampai kitaorang selalu cakap kat arwah…bau abah ni kucing suka kot. Sebelum ni ada seekor kucing yang paling arwah sayang tapi dah kena curi. Dulu semasa kami tinggal di Wangsa Maju Section 1, setiap kali azan arwah mesti pergi ke surau jalan kaki. Kucing tu akan mengiringi arwah sampai ke surau. Lepas tu dia akan tunggu kat depan pintu surau. Bila arwah keluar dia ikut iring balik. Begitulah rutin hari-hari. Tidur pula hujung kaki arwah…sampailah kucing tu hilang kena curi.


    Terlalu banyak kisah menarik arwah dengan kucing-kucing jagaanya. Dan kebanyakan hilang kena curi. Sebab arwah tak suka sangkarnya kucingnya. Sebab dia tak suka kurung kucing. 


    Kejadian di tanah perkuburan tu memang kami satu keluarga terperanjat jugak. Seekor kucing yang kami tak pernah nampak sebelum ini ada di pusara arwah. Tadi saya cuba singgah nak tgk…rupa-rupanya kucing tu ada lagi kat situ. Saya ada bertanya pada ustaz kejadian tu. Ustaz kata mungkin arwah pernah jumpa kucing ni dulu tapi kita mungkin tak tahu, ataupun ada maksud lain yang tersirat utk menyedarkan kita bagaimana kasihnya seorang hamba Allah pada kucing sepanjang hayatnya. Wallahuaklam..


Subhanallah. Kejadian ini memang jarang berlaku. Kalau dilihat gaya kucing itu seperti sedang meratap pemergian tuannya ke alam Barzakh.


Sememang kucing adalah salah satu haiwan yang disayangi Rasulullah s.a.w. Pernah satu peristiwa di mana seekor kucing sedang tidur di atas kain sejadah Rasulullah s.a.w. ketika Rasulullah s.a.w. ingin menunaikan solat. Rasulullah s.a.w. tidak mengalihkan kucing yang sedang tidur itu, bahkan Rasulullah s.a.w. solat di tempat yang lain tanpa kain sejadah yang menjadi alas tidur kucing itu.


Di dalam Islam kucing dianggap sebagai haiwan yang bersih dan pembawa rezeki kepada rumah yang memeliharanya. Bahkan air minuman kucing juga sah digunakan untuk mengambil wuduk.


 Diriwayatkan Ali bin Al-Hasan dan Anas yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah. Lalu beliau berkata, “Ya Anas, tuangkan air wuduk untukku ke dalam bejana.” Lalu, Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Nabi menuju bejana. Namun, seekor kucing datang dan menjilati bejana. Melihat itu, Nabi berhenti sampai kucing tersebut berhenti minum lalu berwuduk. Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, malah tidak ada najis.”


Saya teringat Imam Muda Hassan pernah cerita tentang seekor kucing yang dibela oleh ibunya satu ketika dulu semasa kami dalam perjalanan pulang dari Perak ke Gombak, Selangor. Menurut Imam Muda Hassan, kucing itu sangatlah setia terhadap ibunya dan selalu mengejutkan ibunya bila hampir masuk waktu Subuh.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar